TAIPING: Tiga ekor gajah dari Malaysia, Dara, Amoi dan Kelat (DAK), yang kini ditempatkan di Tennoji Zoo, Jepun, dilaporkan berada dalam keadaan stabil dengan pertambahan berat badan yang positif sejak dipindahkan ke sana.
Majlis Perbandaran Taiping (MPT) dalam kenyataan berkata, pemerhatian harian mendapati tahap kesihatan, selera makan, tingkah laku dan aktiviti harian ketiga-tiga gajah berada pada tahap baik.
“Bacaan berat menunjukkan pertambahan sebanyak 235 kilogram bagi Dara, 220 kilogram bagi Amoi dan 460 kilogram bagi Kelat,” menurut kenyataan itu pada Khamis.
MPT berkata, program pengayaan persekitaran, pemakanan serta latihan pengendalian secara ‘sentuhan terlindung’ dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan kebajikan gajah sentiasa terjamin.
“Secara keseluruhannya, keadaan semua gajah adalah stabil dan berada dalam pemantauan rapi pihak pengurusan zoo serta pasukan veterinar,” katanya.
Dalam masa sama, MPT turut memaklumkan bahawa Kelat kini berada dalam fasa musth atau ‘turun minyak’, iaitu keadaan biologi semula jadi bagi gajah jantan matang.
“Dalam tempoh ini, perubahan hormon testosteron boleh menyebabkan tingkah laku menjadi lebih aktif, sensitif atau agresif berbanding kebiasaan,” jelas kenyataan itu.
MPT menolak dakwaan bahawa Kelat mengalami masalah mata, sebaliknya menjelaskan perubahan yang kelihatan di sekitar mata haiwan tersebut adalah kesan fisiologi normal semasa fasa musth.
“Dakwaan berkaitan aktiviti pembiakan paksa (force breeding) terhadap ketiga-tiga gajah ini juga adalah tidak benar sama sekali,” katanya.
MPT menegaskan pihaknya akan terus bekerjasama rapat dengan Tennoji Zoo bagi memastikan tahap kebajikan, kesihatan dan pengurusan semua gajah sentiasa berada dalam keadaan terbaik.








