Dakwa berlaku syiqaq, Adira dan Adnan gagal capai kata sepakat

Jawatankuasa Pendamai (JKP) melibatkan usahawan popular, Datuk Seri Adnan Abu atau lebih dikenali sebagai Datuk Red dengan penyanyi, Adira Suhaimi menemui jalan buntu apabila pasangan terbabit gagal mencapai kata sepakat di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat pada Selasa.

Dalam prosiding permohonan cerai di hadapan Hakim Syarie, Abdul Hadi Umur, Adnan, 42, dimaklumkan tidak menceraikan isteri keduanya itu.

Bagaimanapun, Adira, 33, tetap kekal dengan keputusannya untuk berpisah.

Berikutan itu, kes pasangan terbabit akan diteruskan dengan lantikan hakam di mahkamah sama pada 24 April depan.

Lapor Sinar Harian, peguan syarie mewakili Adira iaitu Nor Saidah Zakaria berkata, laporan berdasarkan sesi JKP telah dibuat di Pejabat Agama Islam, Gombak pada 1 Februari lalu.

Katanya, mahkamah menerima laporan terbabit maka tiada keperluan untuk mengadakan sesi JKP kedua.

“Selain itu, mahkamah turut mengesahkan berlaku syiqaq (perbahalahan perpanjangan) antara mereka.

“Susulan itu, mahkamah menetapkan bulan depan untuk peringkat hakam,” katanya.

Sementara itu, peguam syarie yang mewakili Adnan selaku defenden, Muhammad Akmal Amzan mengesahkan pasangan itu gagal mencapai kata sepakat untuk berdamai.

“Tiada kefahaman antara pihak-pihak namun mereka masih berkomunikasi dan menunaikan tangung jawab seperti biasa,” katanya.

Pada 25 Oktober tahun lalu, Adira memfailkan penceraian kerana mendakwa tidak lagi wujud persefahaman dalam perkahwinannya.

Untuk rekod, Adira memfailkan permohonan cerai terhadap Adnan di mahkamah ini pada 1 April 2019 namun menarik semula permohonan itu bagi memberi peluang kedua kepada suami selain cuba berbaik demi anak-anak.

Adira dan Adnan berkahwin di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015 sebagai isteri kedua.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Anggrek, 7, Asan, 6, Anggun, 5 dan Ayob yang kini berusia dua tahun manakala perkahwinan Adnan bersama isteri pertama iaitu Datin Seri Sharifah Norshafila Hassim, mereka dikurniakan lima cahaya mata.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat