Oleh: Shafira Aziz
PETALING JAYA: Pemimpin bukan Islam dalam kerajaan perpaduan bukan ‘naik kepala’, namun mereka hanya menyuarakan pendapat sebagai pemimpin dalam kerajaan.
Penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr Mazlan Ali mengulas mengenai pandangan Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Tan Sri Abdul Hadi Awang yang dianggapnya tidak tepat.
Katanya, ia mungkin hanya persepsi Hadi semata-mata kerana pemimpin bukan Melayu tidak menghormati naratif agama Islam.
“Pada pandangan saya, persepsi dan pandangan beliau (Hadi) mungkin tidak tepat.
“Ia kerana mungkin beliau berpandangan pemimpin-pemimpin bukan Melayu perlu lebih menghormati naratif Islam sekiranya mahu menyentuh mengenai isu tersebut,” katanya ketika dihubungi Malaysia Bangkit pada Jumaat.
Terdahulu, tular kenyataan ucapan Hadi sempena Muktamar Pemuda PAS ke-65 di Kerdau, Temerloh semalam.
Menerusi ucapan tersebut, Hadi membidas pemimpin Melayu-Islam dalam kerajaan perpaduan kononnya tidak berupaya menangani rakan-rakan pimpinan bukan Islam mengakibatkan pemimpin bukan Islam ‘naik kepala’.
Dakwanya, isu-isu melingkari umat Islam seperti murtad, halal dan haram kini diulas secara terbuka oleh pemimpin bukan Islam hingga mengakibatkan suasana tidak tenteram.
Hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam nada sinis membalas kenyataan Hadi dengan kata-kata – ‘dia seorang sahaja yang kuat’.