Dakwa salah label produk, alas kaki gambar Kaabah dirampas di Johor

Selepas kecoh insiden kalimah Allah pada stoking, kini timbul pula kejadian alas kaki yang dikatakan memiliki gambar Kaabah telah dijual di sebuah pasar raya di Johor dikhuatiri akan mewujudkan rasa kurang senang dalam kalangan penganut beragama Islam.

Insiden yang tular di media sosial itu turut mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan masyarakat beragama Islam terutama ketika perkara itu tular saat meraikan Lebaran.

Susulan kejadian itu, pihak pengurusan AEON BiG (M) Sdn Bhd (AEON BiG) dalam kenyataan pada Ahad memaklumkan, kejadian itu disedari menerusi perkongsian di media sosial berhubung sejadah yang dilabel secara tidak tepat sebagai alas pintu.

Pihaknya dimaklumkan mengenai isu berkenaan pada Selasa lalu dan memberi kerjasama sepenuhnya serta kenyataan kepada Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ).

“Pembekal terbabit, A&R Fashion Collection (A&R) adalah Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) milik 100 peratus Bumiputera dan Islam yang membekalkan pakaian muslimah patuh syariah seperti jubah solat, tudung, kurta, sampin, songkok serta produk lain seperti sejadah, permaidani dan tikar. 

“A&R mengesahkan produk berkenaan sememangnya sejadah mini, yang mana coraknya adalah dalam format menegak yang merupakan amalan biasa,” jelasnya

Tambahnya, syarikat pembekal itu ditubuhkan pada 2007 dan sudah menjadi pembekal pasar raya berkenaan sejak 2015, selain menjadi pembekal kepada peruncit lain serta mengendalikan kedai sendiri.

AEON BiG bagaimanapun menjelaskan, ia selaras dengan amalan terbaik untuk pembekal PKS, A&R menggunakan kod barangan dalam sistem yang sebelum ini digunakan untuk produk-produk lain syarikat berkenaan.

“Akibatnya, label yang digantung pada produk menunjukkan pelbagai deskripsi, lantas menyebabkan kekeliruan.

“Perkara ini sudah diperbetulkan serta-merta dalam sistem pengurusan barangan AEON BiG dan deskripsi barangan itu sebagai sejadah sudah dicerminkan. 

“Kami berharap spekulasi yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat berbilang kaum akan dihentikan,” ujarnya.

Difahamkan, AEON BiG dan A&R akan terus bekerjasama dengan JAIJ dan mana-mana pihak berkuasa yang berkaitan sekiranya terdapat sebarang maklumat lanjut yang diperlukan.

Terdahulu media melaporkan, JAIJ merampas 11 alas kaki bergambar Kaabah yang dijual di sebuah pasar raya di Batu Pahat, sehari sebelum Aidilfitri lalu susulan aduan orang awam selain tular di media sosial.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat