Dakwaan Campur Tangan Politik ‘Skrip Lama Tidak Laku’, Mahfuz Beritahu Azman

PETALING JAYA: Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar menolak keras tuduhan bahawa pendakwaan terhadap Ahli Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin berpunca daripada campur tangan politik, sambil menyifatkan dakwaan itu sebagai ‘skrip lama yang sudah tidak laku’.

Mahfuz berkata, kes berkenaan telah pun didakwa di Mahkamah Shah Alam, sekali gus membuktikan proses dijalankan oleh institusi perundangan negara dan bukannya arahan politik daripada kerajaan.

“Bila pertuduhan sudah dibacakan di mahkamah, masih tuduh kerajaan? Ini bukan hujah, ini sindrom penafian politik.

“Era campur tangan kerajaan dalam kehakiman berlaku pada zaman lama, merujuk krisis pemecatan Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas pada 1988 serta kes melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Itu campur tangan sebenar. Itu penyalahgunaan kuasa. Hari ini bukan seperti zaman gelap itu,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurut Mahfuz, pembangkang hari ini cuba memposisikan diri sebagai mangsa walaupun proses pendakwaan dikendalikan secara bebas oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Pendakwa Raya dan mahkamah.

Beliau berkata, Perikatan Nasional (PN) berterusan membawa naratif ‘kezaliman politik’ kerana buntu mencari hujah yang lebih kukuh untuk mempertahankan imej mereka.

“Imej PN yang semakin tercalar bukan berpunca daripada kerajaan tetapi rentetan kes-kes yang melibatkan pemimpin mereka sendiri.

“Ada bukti, maka ada pendakwaan. Ada pendakwaan, maka jawab di mahkamah,” katanya.

Mahfuz turut menekankan bahawa era campur tangan kerajaan dalam sistem kehakiman sudah berakhir dengan merujuk kepada sejarah krisis kehakiman pada tahun 1988 dan kes melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai contoh penyalahgunaan kuasa pada masa lalu.

Beliau berkata, Malaysia kini berada dalam era baharu di mana proses undang-undang dijalankan secara bebas tanpa pengaruh politik, selaras dengan prinsip keadilan dan ketelusan.

Anda Mungkin Berminat