PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan dakwaan yang dibuat oleh Datuk Seri Mohd Rafizi Ramli dalam sebuah podcast baru-baru ini bahawa agensi itu digunakan untuk menyiasat calon-calon yang bertanding dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Mei lalu.
Menurut SPRM, tuduhan tersebut adalah tidak benar dan mengelirukan.
Agensi itu menegaskan bahawa setiap siasatan hanya dijalankan berdasarkan aduan atau maklumat yang diterima, serta melalui proses pengesahan sebelum tindakan lanjut diambil mengikut undang-undang dan prosedur sedia ada.
Mengulas dakwaan bahawa SPRM telah “mengepung rumah” individu tertentu, agensi itu menjelaskan bahawa pegawai penyiasat hanya hadir ke kediaman berkenaan untuk tujuan bertemu serta menjalankan penggeledahan bagi mendapatkan bahan bukti.
“Kaedah ini merupakan amalan biasa dalam siasatan, termasuk elemen kejutan bagi mengelakkan risiko pelupusan bukti.
“Namun, setelah disahkan individu terbabit tiada di rumah ketika itu, pegawai SPRM telah beredar,” menurut kenyataan itu.
SPRM memaklumkan bahawa pada keesokan harinya individu tersebut hadir sendiri ke pejabat SPRM, rakaman percakapan diambil dan beliau dibebaskan tanpa sebarang penahanan.
Agensi antirasuah itu juga menegaskan bahawa mana-mana pihak yang tidak berpuas hati boleh mengemukakan aduan melalui saluran rasmi termasuk kepada pihak polis atau Jawatankuasa Aduan (JKA) SPRM.
SPRM turut mengingatkan semua pihak agar tidak membuat tohmahan tidak berasas secara terbuka di media sosial tanpa bukti kerana ia boleh menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap institusi penguatkuasaan.
Baca juga:








