Dana permulaan Majlis Media dijangka tersedia dalam masa terdekat – Fahmi

PUTRAJAYA: Kementerian Komunikasi optimis bahawa dana permulaan bagi menubuhkan Majlis Media Malaysia (MMM) akan dapat disediakan dalam masa terdekat, sekali gus mempercepatkan usaha merealisasikan badan bebas yang bakal memacu landskap media negara.

Menterinya, Fahmi Fadzil, berkata pihaknya telah mengadakan pertemuan secara dalam talian bersama ahli Lembaga Pengasas Majlis Media Malaysia bagi membincangkan hala tuju penubuhan entiti itu, yang antara lain akan berperanan menyelaras amalan terbaik industri media serta menjamin kebebasan bersuara yang bertanggungjawab.

“Saya telah adakan pertemuan dalam talian dengan pihak lembaga pengasas, dan kita akan susuli dengan pertemuan fizikal dalam masa terdekat, memandangkan ada wakil yang berada di luar Lembah Klang,” katanya dalam sidang media mingguan Kementerian Komunikasi, hari ini.

Menurut beliau, mesyuarat awal MMM dijangka dapat dimulakan dalam satu hingga dua bulan akan datang. Selepas itu, Lembaga Pengasas akan diberikan tempoh enam bulan untuk melaksanakan pemilihan jawatankuasa tetap yang akan mentadbir majlis secara rasmi dan berterusan.

Majlis Media Malaysia merupakan antara inisiatif pembaharuan institusi di bawah Kerajaan Perpaduan dalam usaha memperkukuh profesionalisme media, menangani penyebaran maklumat palsu dan membina semula kepercayaan masyarakat terhadap pengamal media tempatan.

Sementara itu, mengulas mengenai isu pelantikan Ketua Hakim Negara yang baharu, Fahmi berkata perkara itu hanya disentuh secara ringkas dalam Mesyuarat Jemaah Menteri, merujuk kepada kenyataan Perdana Menteri pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) baru-baru ini.

Perdana Menteri sebelum ini menegaskan bahawa sebarang pelantikan atau penyambungan kontrak penjawat awam termasuk hakim perlu melalui prosedur yang ditetapkan serta mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja.

Anda Mungkin Berminat