KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi mengekalkan pembekuan akaun bank milik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang mengandungi RM195 juta, sementara menunggu keputusan semakan kehakiman dan prosiding jenayah berkaitan.
Pesuruhjaya Kehakiman, Gan Techiong memutuskan bahawa isu yang dibangkitkan tidak sesuai ditentukan secara ringkas kerana kaitannya dengan kes jenayah yang masih berjalan.
“Jika mahkamah ini menyelidik lebih mendalam, kesannya akan merampas bidang kuasa mahkamah lain,” katanya dalam penghakiman bertarikh 9 April.
Sebelum ini, CIMB Bank memohon pengesahan mahkamah selepas menerima arahan bercanggah daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak BERSATU.
Setiausaha Eksekutif BERSATU, Datuk Muhammad Suhaimi Yahya menghantar surat kepada bank untuk meminta pelepasan dana yang didakwa dimasukkan oleh Bukhary Equity Sdn Bhd.
CIMB kemudian memfailkan permohonan ‘interpleader’ dengan menamakan SPRM, pendakwa raya dan Muhammad Suhaimi sebagai defendan dalam kes tersebut.
Gan turut memaklumkan bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden BERSATU telah didakwa pada Mac 2023 atas dakwaan menerima dana parti secara salah.
“Dalam kes ini, presiden didakwa atas kapasiti beliau dalam parti berhubung dana yang diterima,” katanya.
Beliau berkata, undang-undang membenarkan pertuduhan terhadap individu, walaupun dana yang terlibat berada atas nama parti.
Mahkamah juga menolak afidavit setebal 376 muka surat yang difailkan oleh peguam Muhammad Suhaimi kerana dikemukakan pada saat akhir tanpa kebenaran.
Dana tersebut akan terus dibekukan sehingga keputusan semakan kehakiman oleh Muhyiddin dan Suhaimi di Bahagian Kuasa Khas Mahkamah Tinggi selesai.
Muhyiddin kini berdepan enam pertuduhan termasuk empat di bawah Akta SPRM dan dua di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) yang melibatkan jumlah keseluruhan RM200 juta.