PETALING JAYA: Kementerian Komunikasi melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) terus memperkukuh ekosistem industri kreatif negara dengan membuka permohonan Dana Supertelefilem Bintang Veteran (STAR) bermula 29 Ogos hingga 7 September 2025.
Dana khas itu diwujudkan sebagai inisiatif strategik untuk merangsang penghasilan kandungan tempatan yang berkualiti tinggi, di samping meningkatkan kadar tontonan di stesen penyiar utama.
Lebih penting, ia memberi ruang kepada artis veteran untuk kembali menyumbang secara aktif dalam dunia seni tanah air.
“Dana STAR bukan sekadar menyokong penerbitan telefilem berkualiti tinggi tetapi juga memastikan artis veteran terus diberi ruang berkarya.
“Ia adalah pengiktirafan kepada jasa mereka dalam industri seni tanah air,” jelas FINAS dalam kenyataan.
Kategori dana itu dibuka khusus untuk penerbitan supertelefilem dengan syarat sekurang-kurangnya 60 peratus tenaga kerja produksi terdiri daripada artis veteran.
Langkah itu bertujuan mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih luas serta menjamin kesinambungan kerjaya mereka yang berpengalaman.
Permohonan boleh dibuat secara dalam talian melalui laman web rasmi FINAS atau portal SPPIK, tertakluk kepada Garis Panduan dan Peraturan Dana Kandungan Kreatif (DKK) yang sedang berkuat kuasa.
Kerjasama turut melibatkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan stesen penyiar swasta bagi memastikan hasil penerbitan dapat disiarkan di platform arus perdana, sekali gus memberi impak lebih luas kepada masyarakat.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh dikemukakan kepada Bahagian Pengurusan Produksi FINAS melalui e-mel [email protected] sepanjang tempoh permohonan dibuka.
Inisiatif Dana STAR ini menjadi bukti komitmen kerajaan dalam menjaga kebajikan artis veteran, memperkukuh industri kreatif negara dan memastikan legasi seni mereka terus dihargai oleh generasi akan datang.