Dana Wakaf Tunai diagih, 8 negeri terima manfaat

PETALING JAYA: Sebanyak RM889,493.65 dana Wakaf Tunai Malaysia berjaya diagihkan kepada lapan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) bagi tahun 2024, dalam usaha memperkukuh kerjasama strategik antara agensi persekutuan dan negeri.

Penyerahan simbolik cek disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Waqaf Malaysia (YWM), dalam satu majlis rasmi baru-baru ini.

“Agihan ini bukan sahaja membawa impak besar kepada agenda pemerkasaan bumiputera, malah menjadi pemangkin kepada pengurusan wakaf yang sistematik dan mampan di peringkat negeri,” katanya dalam satu kenyataan.

Lapan negeri yang menerima agihan termasuk Kedah, Johor, Terengganu, Melaka, Sabah, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan dan Perlis, dengan dana diagihkan secara suku tahunan. Pelaksanaan ini turut memanfaatkan sistem potongan gaji wakaf secara sukarela bagi penjawat awam Persekutuan.

Melalui kelulusan kod potongan gaji tersebut, penjawat awam kini boleh melaksanakan wakaf secara berkala dan sistematik di mana satu langkah yang disokong menerusi Pekeliling Am Bil. 1 Tahun 2020 oleh Kerajaan Persekutuan.

Usaha ini memperlihatkan manifestasi komitmen YWM sebagai entiti wakaf di peringkat nasional dalam memperkasakan sosioekonomi ummah, seiring aspirasi Malaysia Madani yang menekankan keterangkuman, kebersamaan dan kemampanan.

“Kerjasama erat ini membuktikan bagaimana wakaf mampu menjadi instrumen pembangunan yang bukan hanya berlandaskan nilai agama, tetapi turut menyokong agenda ekonomi negara,” tambahnya.

Untuk rekod, sumbangan kepada Skim Wakaf Tunai Malaysia YWM layak mendapat potongan cukai di bawah Seksyen 44(11C) Akta Cukai Pendapatan 1967. Wakaf kini boleh dilaksanakan serendah RM1 melalui potongan gaji atau saluran sumbangan ke akaun rasmi YWM.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat