DAP bantu kempen calon BN untuk DUN Mahkota – Loke

PELABUHAN KLANG: DAP akan membantu berkempen bagi calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota yang akan datang, kata Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook.

Anthony Loke berkata, Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC), DAP telah memutuskan untuk menyokong sepenuhnya usaha kerajaan perpaduan mengekalkan kerusi DUN Mahkota menerusi mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC).

“Kita sentiasa berada di lapangan, kita ada pusat khidmat dan cawangan-cawangan kita di sana selain memiliki petugas parti sepenuh masa di kawasan itu.

Kesemua mereka ini akan dikerahkan untuk membantu kempen memenangkan calon Kerajaan Perpaduan,” katanya, memetik laporan NST pada Selasa.

Menteri Pengangkutan itu berkata, ekonomi semakin mengukuh dan kemakmuran negara di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan akan meniadi naratif yang bakal dibawa DAP dalam memikat hati pengundi sekali gus mempertahankan kerusi itu pada PRK berkenaan.

“Di Johor banyak perkembangan ekonomi, pelaburan baharu projek-projek pengangkutan dan infrastruktur yang besar berlaku di sana, termasuk di Kluang dengan siapnya projek landasan berkembar Gemas ke
Johor Bahru yang akan melalui Kluang tidak lama lagi,” katanya.

Untuk rekod, pilihan raya itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Shariah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lepas ketika menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang, Johor.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota pada 28 September manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 14 dan 24 September.

Anda Mungkin Berminat