PETALING JAYA: Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali, menggesa supaya tuduhan ‘kafir’ dan ‘murtad’ terhadap umat Islam yang menyertai parti itu dihentikan, menyifatkan amalan ‘takfiri’ sebagai tidak berasas dan berbahaya.
Menurutnya, sejak pemilihan ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan, dan ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman, ke dalam Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP pada 16 Mac lalu, pelbagai kecaman liar dilontarkan, terutamanya di media sosial.
“Ada yang menuduh mereka kafir dan murtad serta mempersoalkan siapa yang akan menguruskan jenazah mereka kelak. Tuduhan seperti ini bukan perkara baharu kerana saya sendiri pernah mengalaminya ketika menyertai DAP sedekad yang lalu,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Rabu.
Sheikh Umar menegaskan bahawa keanggotaan dalam DAP tidak berkaitan dengan akidah seseorang.
“DAP adalah sebuah parti politik, bukan agama. Menyertai DAP tidak bermaksud seseorang keluar daripada Islam atau menganut agama lain. Mereka yang membuat tuduhan seperti ini mungkin kurang memahami atau terpengaruh dengan pemikiran ekstremis,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa menuduh sesama Muslim sebagai kafir adalah perbuatan yang dilarang dalam Islam. Merujuk kepada hadis Nabi Muhammad SAW, beliau berkata bahawa jika tuduhan itu tidak benar, ia akan kembali kepada si penuduh.
Sheikh Umar menegaskan bahawa DAP menerima Perlembagaan Persekutuan, termasuk Perkara 3(1), yang menetapkan Islam sebagai agama rasmi negara.
“DAP tidak menentang Islam. Sebaliknya, kami menghormati Islam sebagai agama Persekutuan dan perjuangan kami adalah berasaskan prinsip demokrasi serta kebebasan berpolitik,” katanya.
Beliau menyeru agar tuduhan tidak berasas terhadap ahli politik Muslim dalam DAP dihentikan serta-merta.
Baca juga: