PETALING JAYA: DAP mengecam keras tindakan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Salleh, yang mengetuai perarakan dan demonstrasi di hadapan sebuah kedai logam di Kepala Batas, Pulau Pinang, semalam.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, menyuarakan rasa kesal terhadap tindakan tersebut yang tetap diteruskan walaupun Ketua Polis Negara dan Ketua Polis Pulau Pinang telah mengeluarkan amaran agar perhimpunan itu tidak diadakan.
“Tindakan itu sebagai perbuatan buli dan ugutan terhadap peniaga terbabit, walaupun siasatan masih dijalankan dan pemilik premis telah memohon maaf berhubung kesilapan pemasangan Jalur Gemilang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, tindakan Akmal yang mengingkari arahan pihak berkuasa merupakan satu cabaran terhadap kedaulatan undang-undang dan telah mengganggu ketenteraman awam.
“Dr Akmal juga ingkar amaran pihak polis dan perbuatan itu mencabar kedaulatan undang-undang dan mengganggu ketenteraman awam hingga menimbulkan kegusaran dalam kalangan peniaga sekitar,” katanya.
Semalam, perhimpunan tersebut turut disertai oleh Armada Bersatu yang diketuai Hilman Idham dengan kedua-dua kumpulan mengibarkan Jalur Gemilang di hadapan premis berkenaan di Taman Bertam Permata.
Menurut Loke, insiden itu bukan sahaja mencetuskan ketegangan, malah menyebabkan beberapa peniaga di kawasan sekitar menutup premis lebih awal kerana bimbang akan keselamatan mereka.
“Perbuatan seperti ini melampaui batas undang-undang dan norma masyarakat majmuk di Malaysia.
“Hukuman setimpal perlu dijatuhkan terhadap perbuatan melampau seperti ini,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau mengarahkan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) di seluruh negara untuk membuat laporan polis terhadap insiden tersebut.
“Laporan akan dibuat di bawah beberapa peruntukan undang-undang, termasuk Seksyen 503 Kanun Keseksaan (menakutkan secara jenayah), Seksyen 504 (kenyataan mengaibkan dengan niat membangkitkan kekacauan) dan Seksyen 505 (kenyataan mendatangkan khianat awam),” katanya.