PETALING JAYA: DAP Selangor mengaktifkan Unit Tindak bagi menyalurkan bantuan segera ke kawasan yang terjejas akibat hujan lebat dan kenaikan paras air di beberapa daerah di negeri itu.
Pasukan sukarelawan parti berkenaan kini berada dalam keadaan siap siaga dan sedang digerakkan ke lokasi-lokasi kritikal bagi membantu mangsa banjir serta menyokong operasi agensi kerajaan negeri.
Pengerusi DAP Selangor, Ng Sze Han berkata, pihaknya komited memastikan setiap mangsa menerima bantuan sewajarnya tanpa ada sesiapa yang tercicir.
“Kami menggerakkan jentera di lapangan untuk memastikan bantuan sampai kepada mereka yang memerlukan dan berdiri teguh bersama keluarga yang terjejas,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurut beliau, DAP Selangor turut bekerjasama rapat dengan Kerajaan Negeri Selangor, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat bagi memastikan bantuan dapat disalurkan dengan lancar tanpa mengganggu operasi menyelamat profesional.
“Pihak kami juga menyediakan persiapan makanan kering, air minuman dan kit kebersihan untuk diagihkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi meringankan beban mangsa banjir,” katanya.
Penduduk di kawasan berisiko turut diseru supaya kekal berwaspada, menjaga keselamatan dokumen penting dan mematuhi arahan pihak berkuasa sepanjang tempoh banjir.








