PETALING JAYA: Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) Parti Tindakan Demokratik (DAP) mengkritik tindakan beberapa pemimpin PAS yang mempolitikkan majlis Sambutan Hari Krismas di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Kenyataan bersama oleh Sheikh Umar Bagharib Ali, Young Syefura Othman dan Syahredzan Johan menyelar tindakan tersebut yang bercanggah dengan kenyataan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang menyambut baik perayaan Hari Natal.
Menurut kenyataan itu, percanggahan itu menunjukkan bahawa walaupun terdapat percubaan untuk memberi gambaran bahawa PAS adalah parti yang inklusif, rata-rata kepimpinan PAS tidak menghormati hak rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.
“Jelas semua yang terlibat bahawa semua yang terlibat dengan persembahan adalah mereka yang menyambut Hari Natal, terutama sekali dari Sabah dan Sarawak dan tiada yang dipaksa untuk menghadiri majlis tersebut.
“PAS sepatutnya mempertahankan dan mendukung hak dan kepentingan semua kaum seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan bukannya memecahbelahkan masyarakat dengan politik sempit,” kata kenyataan itu.
Terdahulu, Naib Ketua Pemuda PAS, Muhammad Hanif Jamaluddin mengecam sambutan Krismas di pejabat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan di Putrajaya yang menurutnya melibatkan kakitangan beragama Islam menerusi satu video.
Video itu ialah klip berdurasi kira-kira satu setengah minit yang disiarkan oleh Menteri KPKT, Nga Kor Ming pada malam Krismas.
Ia menampilkan kakitangan kementeriannya menyanyikan ‘Jingle Bells’ dan lagu ‘We wish you a merry Christmas’.
Kenyataan itu juga menyeru PAS untuk menghayati semangat “li ta’arafu” dalam surah Al-Hujurat ayat 13 dan menekuni “fiqh ta’ayush” yang menekankan konsep ‘hidup bersama’ serta ‘interaksi sosial’ antara manusia dari pelbagai latar belakang, agama dan budaya.
“Kepelbagaian etnik, ras serta suku kaum merupakan ‘sunnatullah’ sepertimana di Malaysia ini.
“Kepelbagaian perlu dirai, difahami dan saling dihormati, bukan dimanipulasi demi kepentingan politik atas nama agama,” kata kenyataan itu lagi.