DAP Tegas Tolak Kerajaan ‘Tebuk Atap’ Di Negeri Sembilan

SEREMBAN: DAP menegaskan pendiriannya untuk terus menghormati dan menjunjung prinsip Raja Berperlembagaan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Tubuh Negeri Sembilan 1959, di tengah krisis politik yang melanda negeri itu.

Setiausaha Agung DAP merangkap Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Loke Siew Fook berkata, parti itu menghormati keunikan Adat Pepatih serta kedudukan Undang Yang Empat yang berperanan melantik dan menurunkan takhta Yang Di-Pertuan Besar.

“Namun, sebarang tindakan untuk menurunkan takhta Yang Di-Pertuan Besar mesti berlandaskan prinsip dan proses yang tertib berlandaskan Artikel X (1) Undang-undang Tubuh Negeri Sembilan,” katanya.

Beliau berkata, kedaulatan dan martabat institusi Yang Di-Pertuan Besar sebagai simbol Ketua Negeri mesti dipertahankan serta tidak boleh dibenarkan mana-mana pihak memperlekeh atau mengaibkan baginda.

Dalam masa sama, Loke mengumumkan bahawa kesemua 11 ADUN DAP Negeri Sembilan akan terus menyokong Datuk Seri Aminuddin Harun untuk kekal sebagai Menteri Besar.

“Kita mendukung Kerajaan Negeri Sembilan yang telah diberi mandat oleh rakyat pada Pilihan Raya Negeri 2023 yang lalu.

“Justeru, DAP akan menolak sebarang usaha untuk menubuhkan Kerajaan ‘Tebuk Atap’ di Negeri Sembilan,” tegasnya.

DAP turut menegaskan komitmen untuk menyokong segala dasar dan perjalanan kerajaan negeri seperti biasa dengan semua ADUN DAP akan terus berkhidmat kepada rakyat tanpa gangguan.

Anda Mungkin Berminat