Dapur Digital Bantu B40 Jana Pendapatan

KUALA LUMPUR: Usaha memperkasakan golongan berpendapatan rendah terus mendapat suntikan semangat apabila Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyatakan sokongan penuh terhadap inisiatif Dapur Digital, yang digerakkan melalui Program Food Bank Malaysia (PFBM) dan Payung RAHMAH.

Inisiatif berkonsepkan keusahawanan makanan itu bukan sahaja membuka peluang kepada komuniti B40 untuk menjana pendapatan harian, malah turut memperkukuh pembangunan komuniti dan meningkatkan taraf ekonomi masyarakat setempat secara mampan.

Menurut Timbalan Menteri KPDN, Datuk Fuziah Salleh, Dapur Digital merupakan langkah inovatif yang memberi impak menyeluruh kepada kesejahteraan rakyat, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

“Kewujudan Dapur Digital ini membolehkan komuniti B40 menjana pendapatan harian, di samping membantu menyediakan makanan seimbang dengan harga mampu milik.

“Ia juga mencerminkan pendekatan ‘whole of nation’ yang menjadi teras kepada hasrat Malaysia MADANI,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Antara projek yang menjadi tumpuan ialah Dapur Digital Seri Perlis II, yang bukan sahaja menyediakan platform kepada usahawan tempatan untuk mengembangkan perniagaan makanan tetapi turut menawarkan Menu RAHMAH.

Dalam masa sama, PFBM memainkan peranan penting dalam menyokong operasi Dapur Digital dengan menyelamatkan lebihan makanan daripada pengeluar di sekitar Lembah Klang untuk diagihkan kepada penduduk di Perumahan Awam Seri Perlis II.

Usaha itu bukan sahaja mengurangkan pembaziran makanan tetapi juga memastikan bantuan sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

Fuziah berkata, pelaksanaan inisiatif seperti PFBM, Payung RAHMAH dan Dapur Digital bukan sekadar memenuhi keperluan asas tetapi menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi tempatan dan peningkatan kualiti hidup rakyat.

“KPDN akan terus komited menjalin kerjasama strategik dengan pelbagai pihak untuk memastikan lebih ramai golongan memerlukan dapat dibantu, seterusnya menikmati kehidupan yang seimbang dan berkualiti,” katanya.

Inisiatif itu sekali gus memperkukuh ekosistem bantuan makanan dan peluang ekonomi yang mampan di seluruh negara, menjadikan Dapur Digital bukan hanya dapur rakyat tetapi dapur harapan untuk masa depan yang lebih sejahtera.

Anda Mungkin Berminat