Darah Pada Nota Tulisan Tangan Sah Milik Zara Qairina – Ahli Kimia

KOTA KINABALU: Titik-titik darah yang ditemui pada helaian nota bertulisan tangan milik Allahyarham Zara Qairina Mahathir disahkan sepadan dengan profil DNA remaja berusia 13 tahun itu, menurut keterangan Ahli Kimia Jabatan Kimia Malaysia, Nor Aidora Saedon, dalam prosiding inkues yang sedang berlangsung.

Nor Aidora, 52, tampil sebagai saksi ke-17 di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan pada Selasa bagi membantu siasatan punca kematian tragis Zara.

Beliau menjelaskan bahawa analisis forensik terhadap helaian kertas bertanda ‘Y8’ dan ‘Y1’ menunjukkan padanan DNA yang konsisten dengan spesimen tulang bertanda ‘WK37’ yang telah dikenal pasti sebagai milik Zara.

“Ini menunjukkan DNA yang dikenal pasti datang daripada individu yang sama,” katanya, sambil menambah bahawa kesan darah lain yang ditemui pada bahan bertanda ‘WK15(9)(a)’ dan ‘WK13’ turut menunjukkan padanan yang sama.

Sebelum ini, pegawai pemeriksa dokumen, Nurul Atiqah Mohd Noh, mengesahkan bahawa tulisan tangan pada kertas bertanda ‘Y1’ hingga ‘Y15’ serta ‘W1’ dan ‘W2’ adalah konsisten dengan tulisan milik Zara Qairina, memperkukuh kaitan antara nota tersebut dan remaja berkenaan.

Dalam keterangannya, Nor Aidora turut mendedahkan bahawa satu profil DNA bercampur telah dikesan pada beberapa barangan peribadi milik Zara termasuk beg alat tulis, buku dan selimut.

Menurutnya, Zara dikenal pasti sebagai penyumbang utama dalam campuran tersebut, namun identiti penyumbang minor tidak dapat dipastikan secara konklusif.

“Profil DNA bercampur terdiri daripada seorang penyumbang utama wanita dan sekurang-kurangnya dua penyumbang kecil,” katanya.

Beliau berkata, semua bahan bukti dianalisis mengikut piawaian forensik antarabangsa menggunakan peralatan canggih seperti Real-Time PCR, Thermal Cycler dan Genetic Analyser dengan kawalan ketat sepanjang proses.

“Sepanjang analisis dijalankan, semua bahan bukti berada di bawah jagaan saya dan tidak diusik.

“Setelah analisis selesai, saya menutup semula setiap bahan dalam bungkusan asalnya,” jelasnya.

Nor Aidora turut memaklumkan bahawa makmal DNA Jabatan Kimia Malaysia sering menjalankan analisis bagi kes pembunuhan, rogol, penculikan, pergaduhan dan pelbagai kes jenayah lain dan hasil analisisnya telah diterima oleh pelbagai peringkat mahkamah.

Anda Mungkin Berminat