Dari 25 Ke 19 peratus, tanpa jejas kedaulatan negara – Zafrul

KUALA LUMPUR: Malaysia mencatat kejayaan penting dalam diplomasi ekonomi apabila Amerika Syarikat (AS) bersetuju menurunkan kadar tarif timbal balas ke atas eksport negara ini daripada 25 peratus kepada 19 peratus, berkuat kuasa hari ini.

Dalam satu kenyataan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri,  Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, yang menyifatkan keputusan itu sebagai hasil daripada rundingan yang kompleks dan berterusan sejak 6 Mei 2025.

“Keputusan ini adalah bukti hubungan ekonomi yang kukuh serta kredibiliti Malaysia sebagai rakan dagang yang boleh dipercayai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Apa yang lebih signifikan, menurut beliau, ialah kejayaan ini dicapai tanpa menjejaskan kedaulatan negara, membolehkan Malaysia terus melaksanakan dasar-dasar pembangunan yang pro-rakyat dan menyokong pertumbuhan sosio-ekonomi.

“Penurunan tarif ini tidak memerlukan Malaysia mengorbankan sebarang dasar penting.

“Ini memberi ruang untuk kita terus memperkasa dasar-dasar strategik termasuk bagi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS),” jelasnya.

Penurunan tarif ini dijangka memberi impak positif kepada daya saing produk Malaysia, terutamanya dalam sektor berorientasikan eksport seperti elektrik dan elektronik (E&E), perabot, sarung tangan dan komponen automotif, yang terjejas akibat tarif asal yang tinggi.

MITI turut memaklumkan bahawa pihaknya akan bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan untuk meminimumkan kesan tarif sedia ada dan dalam masa sama meneroka peluang pasaran baharu untuk penggiat industri tempatan.

Kementerian memberi jaminan bahawa usaha berterusan akan dilaksanakan untuk melindungi kepentingan ekonomi Malaysia di peringkat antarabangsa, termasuk dalam rundingan perdagangan bebas serta menangani isu sekatan bukan tarif yang lain.

“Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam rundingan ini. Bersama-sama, kita akan terus memacu potensi global Malaysia,” kata Tengku Zafrul.

Untuk rekod, Malaysia merupakan antara negara Asia Tenggara yang mencatat nilai dagangan tertinggi dengan Amerika Syarikat, dengan sektor E&E menyumbang lebih 40% daripada jumlah eksport.

Rundingan berkaitan tarif ini bermula susulan keputusan AS mengenakan semula tarif ke atas beberapa negara membangun atas alasan ketidakseimbangan perdagangan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat