Dari Aduan Rakyat Ke Pentas ASEAN, Malaysia Perkasa Standard Penyelenggaraan Jalan Raya

KUALA LUMPUR: Inisiatif #MyJalan, yang pada asalnya menjadi saluran aduan kerosakan jalan raya, kini melonjak ke tahap lebih tinggi menerusi penganjuran MY-ASEAN Roads & Traffic Tech Expo (My-ARTTE) dan Malaysia Road Maintenance Convention (MRMC).

Kedua-dua acara julung kali itu menandakan komitmen Malaysia dalam memperkasa penyelenggaraan jalan raya berteknologi tinggi.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menyifatkan kejayaan #MyJalan sebagai bukti kukuh kerjasama antara rakyat, agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan industri.

Menurutnya, pendekatan ini kini diperluaskan ke peringkat ASEAN bagi memacu standard penyelenggaraan jalan yang lebih pintar dan berdaya saing.

“Jalan raya bukan sekadar laluan tetapi cerminan maruah dan kemajuan negara.

“Menjaga jalan adalah amanah moral dan simbol komitmen kita terhadap keselamatan rakyat,” katanya dalam kenyataan selepas melancarkan My-ARTTE dan MRMC pada Isnin.

Acara tersebut menjadi medan penting bagi negara-negara ASEAN berkongsi idea, teknologi dan amalan terbaik dalam usaha mewujudkan sistem penyelenggaraan jalan raya yang lebih cekap, selamat dan tahan lasak.

“Dari suara rakyat melalui #MyJalan, kini Malaysia memimpin langkah ke peringkat serantau.

“Matlamatnya jelas iaitu memastikan rangkaian jalan yang lebih pintar, bersih dan selamat demi kemajuan bersama,” katanya.

Anda Mungkin Berminat