Dari kerajaan terdahulu, Lembaga Keselamatan Pengangkutan masih belum jadi realiti

PETALING JAYA: Cadangan untuk menubuhkan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Malaysia (MTSB) sekali lagi dibangkitkan di Parlimen, namun perkembangan terbaharu ini mengundang persoalan mengenai kelewatan selama lebih satu dekad dalam merealisasikan penubuhan badan penting itu.

Pengumuman terbaharu oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke bahawa kementeriannya kini sedang meneliti semula cadangan penubuhan MTSB, menimbulkan kebimbangan sama ada agenda keselamatan pengangkutan benar-benar diberikan keutamaan oleh pihak berwajib.

Berdasarkan maklumat terdahulu, cadangan awal untuk menubuhkan MTSB telahpun dikemukakan seawal tahun 2014, susulan tragedi nahas bas di Genting Highlands yang meragut 37 nyawa insiden jalan raya paling buruk dalam sejarah negara.

Sejak itu, beberapa siri pengumuman telah dibuat oleh menteri-menteri pengangkutan yang silih berganti.

Namun begitu, tiada perkembangan ketara yang berlaku sehingga kini, meskipun Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) telah menyiapkan laporan serta syor lengkap mengenai struktur dan fungsi lembaga tersebut.

Bekas ahli lembaga pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Shahrim Tamrin berkata kelewatan ini menunjukkan kegagalan berterusan dalam menjadikan keselamatan pengangkutan sebagai satu dasar jangka panjang yang serius.

“Lebih satu dekad telah berlalu sejak pengumuman pertama dibuat. Beberapa cadangan dan kertas kerja telah lengkap, malah pernah diumumkan bahawa peringkat akhir penubuhan MTSB telah dicapai.

“Namun sehingga hari ini, lembaga itu masih belum wujud secara rasmi,” katanya.

Pengumuman terbaharu oleh Anthony Loke hadir selepas satu lagi kemalangan maut membabitkan pelajar UPSI dan anggota FRU, sekali gus membangkitkan persoalan sama ada Kementerian Pengangkutan hanya bertindak selepas berlaku tragedi besar.

Panel RRP pada 2018 yang turut dipengerusikan oleh Tan Sri Lee Lam Thye dan disertai oleh bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Seri Saripuddin Kasim, secara jelas telah menyarankan agar penubuhan MTSB menjadi keutamaan dasar.

Justeru, Shahrim menggesa supaya semua laporan dan dokumen yang telah dikemukakan sejak tahun 2014 diteliti semula, dan kementerian bertindak segera tanpa perlu menunggu satu lagi insiden menyayat hati berlaku.

“Sudah tiba masanya untuk kita melangkah ke hadapan dengan tindakan konkrit, bukan hanya kenyataan susulan selepas tragedi,” tambah beliau.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat