PETALING JAYA: PKR menyifatkan kejayaan perjanjian gencatan senjata antara Kemboja dan Thailand sebagai bukti kekuatan nilai kekeluargaan dalam ASEAN, dengan Malaysia berperanan sebagai pemudah cara utama yang membantu menggerakkan semula semangat kerjasama serantau.
Dalam kenyataan rasmi, Pengarah Biro Antarabangsa PKR, Dr Maszlee Malik memuji usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berjaya mengumpulkan kedua-dua pemimpin negara terlibat bagi mencapai persetujuan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat.
“Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia menyediakan ruang yang selamat untuk dialog terbuka dan membina, sekali gus membantu meredakan ketegangan yang boleh mengancam kestabilan rantau ini,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai atas komitmen mereka ke arah perdamaian.
“Ini bukan hanya satu pencapaian diplomatik, malah merupakan manifestasi prinsip ASEAN – penyelesaian secara aman, saling hormat dan perpaduan serantau,” tambah Dr Maszlee.
Menurut beliau, dalam dunia yang semakin berdepan ketidakpastian, ASEAN perlu terus menjadi contoh bagaimana negara-negara dengan latar belakang, sistem dan budaya yang berbeza boleh bekerjasama demi kebaikan bersama.
“ASEAN sentiasa seperti sebuah keluarga besar. Bila berlaku perselisihan antara anggota, jalan keluarnya adalah melalui dialog dan rasa tanggungjawab bersama – bukan konfrontasi,” katanya lagi.
Beliau menegaskan bahawa keamanan dan kestabilan di Asia Tenggara bukan hanya soal keselamatan, tetapi asas penting untuk pertumbuhan ekonomi, perdagangan rentas sempadan, pembangunan inklusif dan kemakmuran bersama.
Dengan kejayaan ini, Malaysia bukan sahaja memainkan peranan strategik, tetapi juga membina semula kepercayaan terhadap keupayaan ASEAN menyelesaikan krisis dalaman tanpa campur tangan luar.
Baca juga: