PETALING JAYA: Ketika Perdana Menteri mengumumkan potensi pelaburan RM30 bilion oleh Infineon semasa Misi Pelaburan dan Perdagangan ke Jerman ramai yang skeptikal.
Namun kini, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, visi itu bukan lagi sekadar bayangan namun ia telah menjadi realiti yang memacu negara ke hadapan.
“Masih lagi nak tuduh potensi pelaburan oleh PM (Datuk Seri Anwar Ibrahim) cuma pengumuman kosong? Dari potensi, kita jadikan realiti!” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Menurut beliau, Infineon turut menunjukkan sokongan padu terhadap syarikat tempatan melalui Program Pembangunan Vendor Tempatan yang dilancarkan pada 15 Januari 2025.
Di mana katanya, program itu telah menyokong 139 syarikat tempatan untuk memperluas manfaat kepada ribuan rakyat Malaysia.
Untuk info, Infineon Technologies, gergasi semikonduktor dari Jerman telah memulakan pelaburan tambahan RM30 bilion untuk membina 200mm Silicon Carbide (SiC) Power Fab terbesar di dunia di Kulim Hi-Tech Industrial Park, Kedah.
“Lebih mengagumkan, fasa pertama kilang ini telah siap dan mula beroperasi,” katanya.
Pelancaran rasmi kilang mega ini disempurnakan oleh Perdana Menteri bersama kehadiran Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang menunjukkan satu manifestasi komitmen bersama antara kerajaan negeri dan pusat dalam menjayakan pelaburan strategik itu.
Tambah Zafrul, dengan lebih 1,500 peluang pekerjaan bergaji tinggi diwujudkan untuk rakyat tempatan, pelaburan ini bukan sahaja menobatkan Malaysia sebagai hab semikonduktor global, malah membawa impak ekonomi dan sosial yang luar biasa.