Dari tirai besi ke seni eksklusif, banduan Puncak Borneo bangkit berjaya

Oleh: Aliyaa Azmi

DI sebalik tembok tinggi Penjara Puncak Borneo, tersembunyi kisah transformasi luar biasa. Banduan yang dahulunya dipandang serong kini bangkit dengan kemahiran baharu, menghasilkan produk berkualiti yang semakin mendapat perhatian masyarakat.

Menerusi satu hantaran di Facebook, Inspektor Zulfikri dari Penjara Puncak Borneo berkongsi bahawa banduan di sana aktif menghasilkan pelbagai produk, daripada pakaian tradisional hingga makanan sejuk beku.

“Ada baju Melayu, kain songket, baju kurta, bahan-bahan frozen seperti karipap daging, ayam, pau dan donat. Pastri pun ada, termasuk kek dan biskut,” katanya.

Antara hasil tangan mereka termasuk baju Melayu dalam rekaan cekak musang dan teluk belanga, lengkap dengan jahitan kemas setanding butik ternama.

Kain songket tenunan mereka juga mendapat pengiktirafan, malah pernah menarik minat Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, membuktikan kehalusan seni yang dikuasai oleh para penghuni.

Tidak hanya terhad kepada tekstil, mereka juga menghasilkan makanan sejuk beku seperti karipap daging, pau, donat, serta kek dan biskut tradisional Sarawak, termasuk kek lapis yang sinonim dengan negeri ini.

“Kalau orang ramai nak beli produk hasil banduan Penjara Puncak Borneo, boleh datang ke Galeri Industri Penjara Puncak Borneo. Kami juga ambil tempahan baju Melayu, pelanggan boleh bawa baju sedia ada untuk ukuran lebih tepat,” tambahnya.

Peluang Kedua, Harapan Baharu

Di sebalik usaha ini, terselit satu harapan besar – peluang kedua untuk mereka yang sedang menebus kesilapan lalu. Program pemulihan di Penjara Puncak Borneo bukan sekadar aktiviti harian, tetapi satu proses membina semula keyakinan diri dan kemahiran untuk masa depan.

Dengan setiap jahitan, setiap adunan kek, dan setiap helaian songket, para banduan ini membuktikan bahawa kehidupan tidak berakhir di sebalik tirai besi – sebaliknya, ia boleh bermula semula dengan lebih bermakna.

Anda Mungkin Berminat