PETALING JAYA: Kerajaan komited memperkukuh daya saing tenaga kerja tempatan dengan pelbagai penambahbaikan dasar termasuk perluasan perlindungan insurans pekerjaan dan peningkatan kadar gaji.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, antara inisiatif utama termasuk perlindungan terhadap bencana luar waktu kerja dan bantuan tambahan bagi pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang kehilangan pekerjaan.
“Kita mahu cipta ekosistem yang bukan hanya lindungi pekerja semasa krisis, tetapi beri insentif dan peluang naik taraf kemahiran,” katanya memetik laporan media tempatan.
Dalam perkembangan terkini, beliau berkata, median gaji bulanan negara telah melepasi RM3,000 buat kali pertama, hasil pelaksanaan dasar gaji minimum, latihan kemahiran serta garis panduan yang lebih jelas untuk majikan dan pekerja.
Tambah beliau, lebih 4.3 juta pekerja kini mendapat manfaat langsung daripada dasar gaji minimum dengan 80 peratus daripadanya terdiri daripada warganegara Malaysia, sekali gus menepis tanggapan bahawa dasar ini hanya menguntungkan pekerja asing.
“Kita percaya jika diberi kemahiran tinggi dan struktur gaji yang adil, mereka akan kekal kompetitif dan jadi pilihan utama industri,” ujar Sim.
Sebagai pelengkap kepada dasar ini, kerajaan turut memperkenalkan elaun mobiliti sehingga RM1,000 bagi membantu rakyat Malaysia mengambil peluang pekerjaan di luar zon selesa tanpa beban logistik.








