Oleh: Aliyaa Azmi
PETALING JAYA: Kerajaan terus komited memperkukuh dasar pemerkasaan bumiputera dalam usaha meningkatkan mobiliti sosial dan taraf hidup golongan berkenaan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Majlis Amanah Rakyat (MARA) memainkan peranan utama dalam memastikan usaha ini berterusan dan mencapai matlamatnya.
Menurutnya, antara langkah yang dilaksanakan termasuk membuka lebih banyak peluang dalam bidang pendidikan dan latihan kemahiran bagi membantu golongan bumiputera meningkatkan kedudukan mereka dalam masyarakat.

“Kejayaan dasar bumiputera terutama melalui MARA adalah yang disebut mobiliti sosial yang ketara. Anak-anak dari kelompok miskin dari desa dan pedalaman diberi peluang dan meningkatkan kedudukan mereka melalui pendidikan.”
Anwar menegaskan bahawa dasar ini telah terbukti berkesan dalam mengubah nasib ramai bumiputera yang dahulunya kurang berkemampuan.
“Mobiliti sosial ini harus difahami oleh semua rakyat Malaysia. Tanpa dasar bumiputera dan MARA kita akan lihat umpamanya kecundang masyarakat Melayu, tidak dapat meningkatkan kedudukan mereka melalui mobiliti sosial jelas,” katanya.
Justeru, perdana menteri mengingatkan bahawa dasar ekonomi bumiputera tidak seharusnya dipersoalkan kerana ia telah membantu ramai individu meraih kejayaan sebagai profesional dan tenaga kerja mahir.
“Apa pun pandangan setiap rakyat, jangan kita mendustai dan memungkiri kenyataan sejarah bahawa melalui dasar ekonomi bumiputera boleh mengangkat peluang dan memberikan kedudukan lebih lumayan sebagai profesional, juruteknik kemahiran yang sebelumnya itu tidak diperolehi oleh masyarakat Melayu,” katanya pada Majlis Peluncuran Wakaf MARA Madani sempena Hari MARA ke-59 di ibu negara.
Beliau turut menekankan bahawa MARA perlu kekal sebagai sebuah institusi yang membela masyarakat luar bandar dan golongan kurang berkemampuan.
Dalam masa yang sama, beliau menggesa supaya dana amanah diurus dengan penuh kejujuran serta tanggungjawab bagi memastikan manfaatnya sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
“Dalam cara kita mengurus dana, kita memulihkan keyakinan pada diri dan pada masyarakat. Bagaimana setiap sen dana amanah itu dikendali dengan penuh bertanggungjawab bukan sahaja kepada badan yang kita wakili, amanah MARA tetapi kepada Allah” katanya lagi.
Beliau turut mengingatkan tentang kepentingan nilai ihsan dan keprihatinan, terutama dalam konteks pengurusan institusi yang bertanggungjawab terhadap pembangunan masyarakat.
Selain itu, Malaysia juga kekal komited dalam memperkukuh peranan ASEAN di peringkat global bagi memastikan kestabilan dan kerjasama serantau terus dipertahankan.
Perdana Menteri menegaskan bahawa ASEAN perlu bertindak lebih aktif dalam membentuk dasar global dan tidak hanya menerima keputusan yang ditentukan oleh kuasa besar dunia.
Baca juga: