Oleh: Aliyaa Azmi
KUALA LUMPUR: Lebih 4,000 individu di Sabah kini bebas daripada belenggu kebankrapan hasil pelaksanaan ‘Second Chance Policy’ (Dasar Peluang Kedua) oleh kerajaan melalui Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI).
Setakat Julai lalu, seramai 4,104 orang telah mendapat manfaat daripada dasar itu yang merupakan satu langkah penting ke arah pemulihan kewangan dan kehidupan yang lebih stabil.
Menurut Pendidik Kewangan, Faiz Azmi, dasar itu bukan sekadar penyelesaian teknikal tetapi peluang sebenar untuk individu yang terkesan membina semula masa depan mereka.
“Kerajaan mensasarkan seramai 200,000 individu seluruh negara akan keluar daripada status kebankrapan menjelang akhir 2025.
“Di Sabah sahaja, setakat Julai, lebih 4,000 orang sudah pun bebas daripada belenggu itu,” katanya dalam satu perkongsian video di media sosial.
Faiz menjelaskan bahawa status bankrap bukan sahaja menyekat akses kepada akaun bank dan pinjaman, malah turut melibatkan penyitaan aset serta larangan ke luar negara, di mana kesan yang boleh menjejaskan kesejahteraan keluarga dan kesihatan mental.
“’Second Chance Policy’ ini ibarat peluang kedua. Bila seseorang bebas daripada status bankrap, dia boleh kembali bekerja secara penuh, layak dikenakan cukai dan di situ kerajaan mendapat semula sumber hasil,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa walaupun kebankrapan sering dilihat sebagai hukuman akibat kegagalan mengurus kewangan, ia tidak seharusnya menjadi titik noktah dalam kehidupan seseorang.
“Siapa tak pernah buat silap? Apa yang penting ialah perubahan selepas diberi peluang kedua.
“Persoalannya sekarang, adakah mereka benar-benar belajar daripada kesilapan atau ulangi kesalahan yang sama?” katanya.
Untuk info, ‘Second Chance Policy’ merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk mengurangkan jumlah individu bankrap di Malaysia dan menggalakkan mereka kembali menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.








