Dasar Wanita Negara Pacu Pemerkasaan Wanita Peringkat Nasional, Antarabangsa

PETALING JAYA: Dasar Wanita Negara (DWN) dan Pelan Tindakan Pembangunan Wanita 2025–2030 dirangka bagi mengarusperdanakan peranan wanita dalam semua sektor, selaras dengan aspirasi Kerajaan Madani.

Inisiatif itu dimaklumkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam satu kenyataan bersempena sesi Walkabout Khas yang dirasmikan oleh Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Lobi Utama Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Menteri KPWKM, Datuk Seri Nancy Shukri dan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat II, Alice Lau Kiong Yieng.

Menurut KPWKM, statistik terkini Parlimen Malaysia, wanita hanya mewakili 13.5 peratus ahli Dewan Rakyat dan 16.1 peratus ahli Dewan Negara.

Justeru itu, katanya, program Walkabout Dasar Wanita Negara diharap dapat menyemarakkan komitmen pelbagai pihak khususnya ahli politik ke arah mencapai sasaran minimum 30 peratus perwakilan wanita di Parlimen.

“Dasar Wanita Negara yang dilancarkan oleh Perdana Menteri pada 8 Mac lalu merupakan usaha reformasi menyeluruh kerajaan dalam memperkukuh peranan wanita di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya.

DWN menetapkan empat bidang keutamaan iaitu ekonomi, kepimpinan, keselamatan dan kesejahteraan.

KPWKM berkata, pelaksanaannya disokong oleh 12 pemacu perubahan dan strategi pemboleh daya seperti bajet responsif serta audit gender.

“Tema ‘Memartabat Wanita, Memperkukuh Negara’ dipilih dengan tekad tiada golongan wanita yang ketinggalan secara holistik dan komprehensif,” kata kenyataan itu.

Tambahnya, pengukuhan kedudukan wanita bukan sahaja menjamin keadilan sosial, malah membuka ruang kepada pertumbuhan negara yang lebih pesat dan menyeluruh.

Anda Mungkin Berminat