KUALA LUMPUR: Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, menjelaskan kenaikan harga barang yang dirasai rakyat ketika ini dipengaruhi ketidaktentuan global yang membentuk satu kitaran ekonomi mencabar.
Beliau berkata, situasi itu boleh difahami melalui konsep “doom loop”, iaitu kitaran yang saling memburukkan keadaan apabila konflik global menyebabkan harga minyak meningkat, sekali gus mendorong kenaikan kos pengangkutan dan harga barangan.
Menurutnya, tekanan kos hidup yang meningkat kemudiannya mendorong keputusan jangka pendek bagi meredakan keadaan, namun langkah sedemikian berisiko memburukkan lagi masalah dalam jangka panjang.
“Apa yang berlaku di peringkat global akhirnya memberi kesan langsung kepada rakyat, termasuk dari segi harga barang, kos sara hidup dan peluang pekerjaan,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.

Beliau menegaskan bahawa ketidakstabilan dunia bukan lagi sekadar isu geopolitik, tetapi memberi impak nyata kepada kehidupan harian rakyat.
“Bagi saya, pengajaran paling penting: kita mungkin tak boleh kawal apa yang berlaku di luar, tapi kita boleh tentukan bagaimana kita bertindak balas.
“Dasar yang baik bukan sekadar selesaikan masalah hari ini, tetapi pastikan kita tak terperangkap dalam masalah yang sama berulang kali.
“Dalam kepimpinan, bukan semua keputusan popular itu betul. Kadang-kadang, keputusan yang betul sangat sukar diterima, tetapi keputusan itulah yang menentukan kestabilan jangka panjang,” katanya.
Baca juga:








