Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Rakyat disaran untuk celik mata bahawa kerajaan tidak sesekali bertindak mengutip data peribadi orang awam menerusi inisiatif data telefon bimbit.
Pensyarah Fakulti Perakaunan dan Pengurusan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) Dr Mahendran Chelliah menerusi satu kenyataan berkata, di saat dunia mula berevolusi dalam era transformasi digital, data merupakan satu keperluan dan bukanya untuk mengawal serta ianya untuk memperjelas, merancang dan memajukan negara.
Dr Mahendran melihat segelintir pihak cuba memutar belit usaha kerajaan kepada teori konspirasi yang tidak berasas seperti mana dakwaan dikenakan ke atas inisiatif data telefon bimbit (MPD).

“Tiada data peribadi sedang dikongsi atau diakses.
“Kerajaan dan semua pengendali rangkaian mudah alih yang terlibat telah secara terbuka dan berulang kali menegaskan bahawa tiada nama, nombor kad pengenalan (IC), atau maklumat peribadi boleh dikenal pasti (PII) didedahkan,” katanya.
Sebaliknya kata beliau, data yang dikumpul itu digunakan bagi manfaat pembangunan pembangunan infrastruktur, perancangan pelancongan dan penambahbaikan dasar kerajaan.
“Data ini bersifat statistik dan tidak boleh dikaitkan secara langsung kepada mana-mana individu,” ujar beliau.
Kata beliau, rakyat perlu sedar bahawa diri sudah memberikan lebih banyak data peribafi kepada aplikasi media sosial serta laman sesawang tanpa literasi iaitu dari sudut lokasi, sejarah pencarian serta maklumat peranti.

“Adakah kita pernah persoalkan bagaimana syarikat teknologi swasta menggunakan data tersebut? Tidak.
“Tetapi apabila kerajaan meminta data yang tidak boleh dikenal pasti untuk manfaat rakyat, ia digambarkan sebagai “ancaman,” tegasnya.
Tegas beliau, kesemua penyedia perkhidmatan telekomunikasi sememangnya terikat dengan Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) dan tertakluk kepada tindakan undang-undang sekiranya berlaku sebarang pelanggaran.
Beliau berkata demikian susulan terdapat pihak yang gemar mengembar-gemburkan kekeliruan dan ketakutan yang mana kononnya atas kapasiti mempertahankan privasi sedangkan mereka sendiri menggunakan data pengguna untuk tujuan komersial.
“Mari kita berterus terang. Ini bukan soal melindungi rakyat. Ini tentang menimbulkan perpecahan dan menyebarkan naratif ketidakpercayaan walaupun fakta telah dijelaskan secara telus.
“Sudah tiba masanya rakyat Malaysia melihat sandiwara ini. Data bukanlah musuh. Manipulasi media yang tidak bertanggungjawab itulah yang patut dibimbangi.
“Kerajaan bukan hendak mengintip anda. Tetapi ada segelintir media yang jelas mahu mengambil kesempatan ke atas emosi anda, memesongkan kebenaran, dan merosakkan kepercayaan semata-mata untuk meraih perhatian dan keuntungan politik,” katanya.
Baca juga:








