Dataran Merdeka Jadi Medan Solidariti Wartawan Al Jazeera Malam Ini

PETALING JAYA: Dataran Merdeka malam ini bakal menjadi saksi himpunan solidariti memperingati Anas Al-Sharif, wartawan Al Jazeera yang terkorban ketika membuat liputan di Gaza, bersama rakan-rakan sejawatan lain yang syahid dalam usaha menyampaikan kebenaran.

Program anjuran kumpulan aktivis GEGAR dijadual berlangsung dari pukul 8 hingga 9 malam dengan pengisian termasuk bacaan wasiat terakhir Anas serta upacara peringatan meletakkan gambar wartawan Palestin yang terkorban sejak serangan bermula pada 7 Oktober 2023.

Peserta digalakkan hadir dengan pakaian serba hitam, membawa bunga, banting solidariti, serta gambar wartawan Palestin atau mangsa genosid lain untuk diletakkan di tapak acara bersama nyalaan lilin sebagai simbol perpaduan.

Menurut kenyataan penganjur, himpunan itu diadakan serentak di beberapa negara Asia Tenggara termasuk Indonesia, Thailand dan Vietnam sebagai tanda kebersamaan menentang kezaliman dan memperingati keberanian wartawan Palestin.

“Kita berkumpul untuk memberi penghormatan kepada wartawan Palestin yang menjadi saksi kebenaran.

“Mereka dibunuh kerana mendedahkan jenayah perang kepada dunia,” kata wakil GEGAR.

Suasana malam ini dijangka diserikan dengan bacaan doa dan nyalaan lilin, memperkukuh solidariti rakyat Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin.

Himpunan ini turut menyeru orang ramai agar terus menyalurkan sumbangan kewangan melalui inisiatif bantuan akar umbi dan keluarga mangsa di Gaza, sebagai tanda sokongan berterusan.

Anas Al-Sharif, wartawan Al Jazeera, terbunuh pada awal Ogos lalu ketika melaporkan serangan udara Zionis di Gaza.

Beliau merupakan antara lebih 170 wartawan Palestin yang terkorban sejak serangan bermula pada 7 Oktober 2023.

Anda Mungkin Berminat