NEW YORK: Datuk Bandar New York, Zohran Mamdani, mengumumkan beliau tidak akan menghadiri Perarakan Hari Israel (Israel Day Parade) yang berlangsung hujung minggu ini, menjadikannya datuk bandar pertama dalam tempoh lebih 60 tahun yang tidak menyertai acara tahunan berkenaan.
Memetik portal fox5ny, Mamdani berkata keputusan tersebut selaras dengan pendiriannya yang dinyatakan sepanjang kempen pilihan raya datuk bandar sebelum ini.
“Saya telah menyatakan semasa kempen bahawa saya tidak akan menghadiri perarakan itu dan pendirian saya terhadap kerajaan Israel juga telah saya jelaskan secara terbuka,” katanya.
Mamdani, yang lantang menyokong perjuangan Palestin dan pernah menuduh kerajaan Israel melakukan genosid di Gaza, menegaskan ketidakhadirannya tidak akan menjejaskan komitmen pentadbiran bandar raya itu dalam memastikan keselamatan acara tersebut.
“Saya juga menyatakan bahawa sebagai datuk bandar, saya bertanggungjawab memastikan keselamatan dan kesejahteraan setiap warga New York,” katanya.
Menurut Jabatan Polis New York (NYPD), pelan keselamatan bagi perarakan itu merangkumi penambahan anggota polis di sepanjang laluan, penugasan unit antikeganasan dan unit senjata berat, pemantauan kamera secara meluas serta pemeriksaan terhadap penonton, peniaga, peserta dan petugas media.
Sementara itu, Gabenor Kathy Hochul, Speaker Majlis Bandaraya New York Adrienne Adams dan bekas Datuk Bandar New York, Eric Adams, dijangka menghadiri perarakan berkenaan.
Mengulas keputusan Mamdani, Pesuruhjaya Polis New York, Jessica Tisch berkata penyertaan dalam perarakan itu adalah hak individu masing-masing.
“Keputusan untuk tidak menyertai perarakan adalah keputusan datuk bandar, manakala saya memilih untuk berarak dengan penuh bangga,” katanya.
Beliau turut memberi amaran bahawa pihak berkuasa tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang gangguan dan mana-mana individu yang memasuki laluan perarakan tanpa kebenaran akan ditahan.
Perarakan Hari Israel 2026 dijadual berlangsung pada Ahad dari jam 11.30 pagi hingga 4 petang di Fifth Avenue, melibatkan laluan dari Jalan ke-62 hingga Jalan ke-74.
Acara tahun ini diadakan sempena ulang tahun ke-78 penubuhan Israel dengan tema “Proud Americans, Proud Zionists” (Rakyat Amerika yang Bangga, Zionis yang Bangga).
Baca juga:








