LONDON: Bekas bintang Manchester United dan kapten England, David Beckham mencipta sejarah apabila menjadi atlet pertama Britain bergelar bilionair menurut senarai Sunday Times Rich List 2026.
Menurut laporan tersebut, kekayaan Beckham bersama isterinya, Victoria Beckham kini dianggarkan mencecah £1.185 bilion (RM7.4 bilion).
Jumlah itu meletakkan pasangan terkenal tersebut di kedudukan kedua individu sukan terkaya di United Kingdom di belakang keluarga bekas ketua eksekutif Formula Satu, Bernie Ecclestone yang memiliki kekayaan sekitar £2 bilion.
Beckham yang bersara daripada bola sepak pada 2013 kini merupakan pemilik bersama kelab Inter Miami CF dalam saingan Major League Soccer (MLS), yang dianggarkan bernilai £1.07 bilion dan menjadi antara kelab paling bernilai di liga tersebut.
Selain itu, beliau turut memperoleh pendapatan besar menerusi kontrak duta jenama bersama syarikat seperti Adidas dan Hugo Boss.
Sepanjang kariernya, Beckham pernah membantu Manchester United memenangi pelbagai trofi termasuk Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara Eropah sebelum beraksi bersama Real Madrid CF, LA Galaxy, AC Milan dan Paris Saint-Germain.
Sementara itu, kekayaan Victoria Beckham pula banyak disumbangkan menerusi empayar fesyennya selepas mula dikenali sebagai anggota kumpulan pop terkenal Spice Girls.
Turut tersenarai dalam Rich List tersebut ialah juara dunia Formula Satu tujuh kali, Lewis Hamilton di tangga kelima dengan kekayaan dianggarkan £435 juta.
Juara golf Masters 2026, Rory McIlroy pula berada di kedudukan ketujuh dengan nilai kekayaan sekitar £325 juta.
Petinju Britain, Anthony Joshua turut tersenarai di tempat kelapan dengan kekayaan dianggarkan £240 juta.
Baca juga:








