David Beckham Kini Bergelar ‘Sir’, Terima Anugerah Daripada Raja Charles III

BERKSHIRE: David Beckham, bekas kapten bola sepak England yang pernah memukau dunia dengan sepakan percuma dan gaya tersendiri, kini secara rasmi bergelar ‘Sir’ selepas menerima anugerah darjah kebesaran ‘knighthood’ daripada Raja Charles III dalam satu majlis penuh istiadat di Istana Windsor, Selasa lalu.

Penganugerahan itu bukan sekadar pengiktirafan terhadap pencapaian sukan Beckham tetapi juga penghormatan atas dedikasi beliau dalam kerja amal dan sumbangan terhadap masyarakat.

Pada usia 50 tahun, detik bersejarah itu menjadi kemuncak perjalanan panjang seorang anak muda dari timur London yang pernah bermimpi besar.

“Ini adalah saat luar biasa untuk seorang budak dari timur London berada di Istana Windsor menerima penghormatan daripada Raja.

“Tanpa ragu, ini detik paling membanggakan dalam hidup saya,” katanya kepada agensi berita PA.

Beckham hadir bergaya dalam sut kelabu rekaan isterinya, Victoria Beckham, yang turut menemani beliau bersama ibu bapanya, Ted dan Sandra Beckham.

Penampilannya turut mendapat pujian daripada Raja Charles III, yang menurut Beckham, menjadi inspirasi gaya beliau selama ini.

“Baginda seorang lelaki berpenampilan kemas dan banyak mengilhamkan gaya saya selama ini,” katanya berseloroh.

Selain kejayaan di padang bola sepak bersama Manchester United dan Real Madrid, Beckham juga dikenali sebagai ikon global dalam dunia fesyen, perniagaan dan kebajikan.

Beliau pernah hampir menerima gelaran kesatria selepas membantu London memenangi bidaan Sukan Olimpik 2012, namun proses itu tertangguh susulan siasatan berhubung dakwaan pengelakan cukai.

Kini, dengan gelaran rasmi ‘Sir David Beckham’, beliau menyertai barisan tokoh Britain yang dihormati atas sumbangan luar biasa mereka.

Isterinya, Victoria, turut dikenali sebagai ‘Lady Victoria Beckham’, menjadikan pasangan ini antara nama paling berpengaruh dalam dunia sukan, fesyen dan budaya British.

“Saya telah menang banyak kejuaraan, tetapi menerima anugerah kesatria ini sesuatu yang di luar jangkaan saya,” ujarnya.

Anda Mungkin Berminat