DBKL Diarah Segera Baiki Rumah Rosak Di PPR Seri Cempaka — Menteri

KUALA LUMPUR: Hujan lebat dan angin kencang yang melanda sekitar pukul 4 petang Isnin telah menyebabkan sembilan unit rumah rosak di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Cempaka termasuk lima kediaman yang mengalami kerosakan serius.

Susulan insiden itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa turun padang meninjau keadaan dan mengumumkan tindakan segera.

“Saya telah minta DBKL meneliti keperluan menempatkan keluarga yang benar-benar terkesan ke rumah PPR kekal atau rumah transit DBKL.

“Manakala rumah lain akan diperbaiki segera,” katanya.

Beliau turut menyampaikan sumbangan wang tunai kepada mangsa dan memberi jaminan bahawa bantuan akan terus disalurkan tanpa berlengah.

“Insya-Allah, semua keluarga akan mendapat perlindungan dan bantuan sewajarnya sehingga mereka kembali mendiami rumah masing-masing dengan selesa dan selamat,” ujarnya.

Zaliha berkata, keutamaan kerajaan adalah keselamatan serta kesejahteraan rakyat dan kerja-kerja pembaikan akan dilaksanakan dengan kadar segera bagi memastikan kediaman kembali selamat dihuni.

Anda Mungkin Berminat