KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberi jaminan bahawa tiada sebarang aktiviti perobohan struktur Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman akan dilakukan sehingga proses pemindahan ke lokasi baharu selesai.
Semua pihak berkepentingan akan dilibatkan dalam perbincangan bagi memastikan kelancaran pelaksanaannya.
DBKL dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai cadangan pembinaan sebuah masjid di atas tanah milik syarikat swasta di Masjid India, yang sebahagiannya menempatkan tapak kuil berusia 130 tahun itu.
Jelas DBKL, projek tersebut adalah cadangan pemilik tanah yang sah dan bukan inisiatif kerajaan.
Bagaimanapun, sebagai pihak berkuasa tempatan yang diamanahkan kerajaan, DBKL telah mengambil langkah proaktif bagi memastikan penyelesaian terbaik dicapai tanpa menjejaskan mana-mana pihak serta mengelakkan sebarang bentuk diskriminasi terhadap mana-mana kaum.
“DBKL telah mengenal pasti lokasi baharu bagi pemindahan rumah ibadat ini bagi memastikan penganut Hindu dapat meneruskan aktiviti keagamaan mereka dalam suasana yang selesa dan harmoni,” menurut kenyataan itu.
DBKL turut menegaskan bahawa setiap langkah yang diambil adalah selaras dengan prinsip kebebasan beragama yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.
Sementara itu, pihaknya menghargai kerjasama pelbagai pihak dalam memastikan proses pemindahan berjalan lancar serta menyeru semua pihak agar terus mengekalkan keharmonian dan menghormati kepelbagaian agama di negara ini.