DBKL Keluar 4 Kompaun, Sita Peralatan Jurufoto Tanpa Lesen di KLCC

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan empat notis kompaun dan melaksanakan enam tindakan sitaan terhadap individu yang menjalankan perkhidmatan fotografi tanpa kebenaran di sekitar KLCC menerusi “Op Lens”, Sabtu lalu.

Operasi bersepadu itu dilaksanakan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Pendaftaran Negara Malaysia (JPN) bagi memantau serta mengambil tindakan terhadap kegiatan “ulat foto” di kawasan tumpuan awam.

Menurut DBKL, tindakan penguatkuasaan itu melibatkan individu yang menjalankan perkhidmatan tanpa lesen di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016, termasuk dua daripadanya bukan warga negara.

“Hasil pemeriksaan lanjut oleh JIM dan JPN ke atas enam individu terbabit mendapati empat daripadanya diberikan surat akuan penahanan dokumen di bawah Akta Pendaftaran Negara 1959 bagi siasatan lanjut berkaitan kesahihan dokumen pengenalan diri dan status kerakyatan.” Menurut kenyataan itu pada Isnin.

DBKL menegaskan aktiviti perkhidmatan fotografi tanpa kebenaran di kawasan awam bukan sahaja melanggar undang-undang, malah boleh menimbulkan risiko keselamatan kepada pengunjung.

Menurutnya, sebahagian aktiviti itu dijalankan di atas jalan raya dan laluan pejalan kaki sehingga mengganggu kelancaran trafik serta pergerakan orang ramai.

Sehubungan itu, DBKL akan terus mempergiat pemantauan dan tindakan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan kawasan bandar kekal selamat, teratur dan harmoni.

Orang awam juga digalakkan menyalurkan sebarang aduan atau maklum balas melalui saluran rasmi DBKL bagi membantu pihak berkuasa membanteras kegiatan tidak berlesen di kawasan bandar.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat