PETALING JAYA: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengeluarkan perintah henti kerja serta-merta terhadap projek pembangunan di Bukit Kiara selepas insiden banjir lumpur di Jalan Abang Haji Openg.
Projek tersebut melibatkan pejabat Zon Pentadbiran Taman Persekutuan Bukit Kiara yang dijalankan oleh Jabatan Landskap Negara (JLN) Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Jabatan Kerja Raya (JKR).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) yang juga Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri TPr Fadlun Mak Ujud telah meninjau lokasi kejadian.
DBKL mengambil tindakan segera dengan mengeluarkan perintah henti kerja dan mengenakan kompaun kepada kontraktor.
Operasi pembersihan turut dijalankan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat bersama DBKL dan kontraktor.
Struktur penghadang di kawasan terlibat dibuka dan perangkap kelodak dibaiki untuk mengawal aliran air permukaan.
Pusat kawalan ditubuhkan oleh DBKL untuk menyelaras operasi di lokasi, manakala Jabatan Bomba dan Penyelamat berada dalam keadaan siap siaga untuk membantu operasi kecemasan.
Datuk Bandar mengarahkan mesyuarat tergempar bagi menilai semula pelan mitigasi dan langkah-langkah yang perlu diambil oleh kontraktor.
Katanya, semua kerja pembangunan cerun di Taman Persekutuan Bukit Kiara akan dikaji semula dan hanya dibenarkan secara berfasa dan terkawal.
Hannah Yeoh berkata, keselamatan awam mesti menjadi keutamaan dan menggesa JKR serta JLN mengambil langkah mitigasi segera untuk mengelakkan kejadian berulang.
DBKL akan memperketatkan kawal selia kerja tanah di kawasan cerun dengan memperkenalkan garis panduan pembangunan kerja tanah secara berfasa dan terkawal bagi memastikan keselamatan penduduk Bukit Kiara terjamin








