ADDIS ABABA: Sejarah baharu tercipta buat Wilayah Persekutuan apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memeterai dokumen kerjasama dengan Addis Ababa City Hall, sekali gus mengukuhkan hubungan strategik antara dua ibu kota yang berpengaruh di rantau masing-masing.
Pertukaran dokumen bersejarah itu membuka ruang baharu kepada Kuala Lumpur untuk memperluas rangkaian global, memahami pendekatan pembangunan di Afrika Timur serta meningkatkan kapasiti teknikal bandar selari dengan keperluan masa kini.
Delegasi Malaysia turut berpeluang meninjau Ethiopian Science Museum dan Friendship Park, dua mercu pembangunan pesat Ethiopia yang mencerminkan visi urbanisasi progresif di bawah kepimpinan TYT Dr Abiy Ahmed.
Lawatan itu memberikan gambaran jelas tentang bagaimana Ethiopia membentuk wajah bandar masa depannya melalui inovasi, teknologi dan pengukuhan ruang awam.
Dokumen kerjasama yang dimeterai meliputi lima bidang utama iaitu pengurusan sisa dan ekonomi kitaran, pelancongan serta budaya dan sukan, pembangunan kapasiti institusi, pengurusan taman awam serta mitigasi banjir dan ketahanan iklim.
Kesemua bidang itu mencerminkan komitmen bersama ke arah pembinaan bandar yang lebih terancang, berdaya tahan dan berpaksikan kemampanan.
Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, kerjasama itu seiring dengan pelaksanaan visi Bandar CHASE yang sedang digerakkan.
“Bagi Wilayah Persekutuan, kerjasama ini seiring dengan pelaksanaan visi Bandar CHASE yang sedang digerakkan.
“Pertukaran teknikal dengan Addis Ababa berpotensi memperkukuh dasar pembangunan bandar Kuala Lumpur khususnya dalam aspek perancangan, ruang hijau, mobiliti dan penyesuaian terhadap perubahan iklim,” katanya.








