PETALING JAYA: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menafikan dakwaan tular di media sosial kononnya terdapat pemberian pokok bunga secara percuma di Taman Tasik Titiwangsa selepas penganjuran KL Park Festival 2025.
DBKL menjelaskan, kerja-kerja pembersihan dan pengalihan tanaman hiasan sedang dijalankan oleh kontraktor yang dilantik sebagai sebahagian daripada proses penutupan acara tersebut.
“Tiada sebarang agihan pokok bunga kepada orang awam dibenarkan di tapak festival,” tegas kenyataan DBKL pada Rabu.
Orang ramai turut diingatkan supaya tidak memasuki kawasan berkenaan tanpa kebenaran serta tidak mengambil mana-mana tanaman atau bahan hiasan di lokasi terbabit. Langkah itu penting bagi menjamin keselamatan awam dan memastikan kerja pembersihan berjalan lancar.
DBKL dalam masa sama menasihatkan warga kota agar berhati-hati dan tidak mudah mempercayai maklumat tidak sahih yang disebarkan di media sosial.
“Sila rujuk kepada saluran rasmi DBKL untuk sebarang pengesahan atau maklumat terkini,” menurut kenyataan itu lagi.
Terdahulu, beberapa hantaran di media sosial mendakwa pengunjung boleh membawa pulang pokok bunga secara percuma selepas berakhirnya festival berkenaan, menyebabkan orang ramai berpusu-pusu ke kawasan tersebut.
KL Park Festival 2025 yang berlangsung minggu lalu di Taman Tasik Titiwangsa menarik ribuan pengunjung dan menampilkan pelbagai aktiviti hijau termasuk pameran landskap, seni taman serta program komuniti mesra alam.








