DBKL Perkemas Agihan Makanan, Usaha Terancang Demi Kesejahteraan Bandar KL

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kini melaksanakan pendekatan baharu dalam pengurusan agihan makanan kepada golongan memerlukan di ibu negara dengan penekanan kepada jadual tetap dan lokasi berpusat yang dikawal selia pihak berkuasa tempatan.

Langkah itu bertujuan memastikan sumbangan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), badan kebajikan dan sukarelawan diagihkan secara teratur, tanpa menimbulkan isu kebersihan, keselamatan atau kesesakan di ruang awam.

Ia juga dilihat sebagai usaha memperkemas ekosistem kebajikan bandar raya agar lebih tersusun dan mampan.

Menurut DBKL, pendekatan berstruktur itu bukan sahaja membantu menyalurkan bantuan kepada kumpulan sasar yang benar-benar memerlukan tetapi juga menjaga imej dan kesejahteraan Kuala Lumpur sebagai ibu negara yang inklusif dan berdaya saing.

“Kami (DBKL) mengalu-alukan penglibatan semua pihak dalam aktiviti kebajikan, namun pelaksanaannya perlu mengikut jadual dan lokasi yang telah diselaraskan,” katanya dalam satu kenyataan.

Antara pusat agihan yang kini beroperasi ialah Pusat Khidmat Gelandangan Medan Tuanku, Pusat Pembelajaran Komuniti Chow Kit, Pusat Transit Gelandangan Anjung Kembara dan Anjung Singgah.

Selain agihan makanan, pusat-pusat itu turut menawarkan pelbagai intervensi sosial seperti bimbingan pekerjaan, program kesedaran kendiri dan aktiviti pemulihan.

DBKL menjelaskan bahawa penyelarasan itu bukan sekadar untuk mengelak pertindihan atau pembaziran tetapi untuk membina sistem sokongan yang lebih berhemah dan berkesan dalam menangani isu kebajikan bandar.

Selaras dengan arahan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, DBKL turut memperkukuh koordinasi bersama NGO dan agensi berkaitan agar pengurusan kebajikan dapat dijalankan secara sistematik dan menyeluruh.

Anda Mungkin Berminat