DBKL rehatkan anggota terlibat, pertimbang tanggung kos rawatan penjaja belon

PETALING JAYA: Tiga anggota penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang terlibat dalam insiden di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) baru-baru ini direhatkan sementara daripada tugas.

Menurut Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif, langkah itu bagi memberi ruang kepada siasatan dalaman DBKL serta siasatan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar dapat dijalankan secara bebas, telus dan menyeluruh tanpa sebarang campur tangan.

Ujar beliau, keputusan tersebut dibuat setelah perbincangan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.

“DBKL memandang serius kejadian ini dan tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk salah laku dalam kalangan warganya, terutamanya yang boleh menjejaskan integriti serta kepercayaan awam terhadap institusi penguatkuasaan.

“DBKL kekal berprinsip dalam menegakkan tadbir urus yang berintegriti, bertanggungjawab dan berteraskan prinsip keadilan kepada semua pihak.

“Sebarang keputusan lanjut akan dibuat selepas siasatan penuh diselesaikan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Dalam kenyataan sama, Maimunah berkata, DBKL juga sedang mempertimbangkan untuk menanggung kos rawatan penjaja belon tersebut sepanjang tempoh pemulihan, tertakluk kepada semakan lanjut dan keperluan perubatan semasa.

“Pengarah Eksekutif (Sosio Ekonomi) serta Pengarah Jabatan Penguatkuasaan DBKL telah menziarahi Muhamad Za ‘imuddin Azlan, individu yang terlibat dalam insiden tersebut, yang kini sedang menerima rawatan di hospital.

“Sehubungan itu, DBKL menyeru semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai insiden ini bagi membolehkan siasatan dijalankan secara terperinci dan adil oleh pihak berwajib,” katanya lagi.

Anda Mungkin Berminat