DBKL Roboh Struktur Haram Di Segambut

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah melaksanakan operasi bersepadu bagi merobohkan struktur kediaman, gerai dan stor yang dibina tanpa kelulusan di Jalan Kelapa Muda, Segambut.

Menurut satu hantaran di Facebook rasmi DBKL, operasi tersebut dijalankan dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PTGWPKL), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Air Selangor Sdn. Bhd. dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Tindakan penguatkuasaan itu diambil selepas pemilik struktur ingkar terhadap amaran dan Notis Penguatkuasaan DBKL berhubung pembinaan tanpa kelulusan.

Menurut DBKL, kebanyakan premis yang terlibat juga didapati dihuni oleh warga asing.

“DBKL bersama rakan agensi sahabat telah melaksanakan tindakan meroboh lima buah struktur terdiri dari tiga buah rumah iaitu sebanyak 12 unit bilik, sebuah kedai dan sebuah stor barangan yang didirikan tanpa kebenaran di atas rezab awam termasuk pemotongan bekalan elektrik oleh TNB setelah kesemua premis dikosongkan,” katanya.

DBKL menegaskan komitmen untuk meneruskan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan kepentingan awam terus terpelihara.

“Sebarang aduan atau maklumbalas, orang awam boleh berhubung atau menyalurkan maklumat dipautan https://adukl.dbkl.gov.my/,” katanya.

Anda Mungkin Berminat