DBKL ‘serbu’ Bukit Bintang, operasi sitaan, pemindahan halangan

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah melancarkan operasi khas bagi menyita dan memindahkan halangan berupa kerusi, meja dan peralatan lain yang ditempatkan di laluan awam tanpa kebenaran di sekitar kawasan Parlimen Bukit Bintang.

Menerusi hantaran di Facebook DBKL, difahamkan lokasi yang terlibat termasuk Jalan Gading, Jalan Changkat Thambi Dollah, Jalan Brunei dan Jalan Bukit Bintang.

“Dalam operasi ini, sebanyak 10 tindakan sitaan telah dilaksanakan selaras dengan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 serta UUK 3(1) Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016.

“Antara barangan yang disita adalah meja dan kerusi plastik, payung, pakaian dan lain-lain peralatan,” kata DBKL.

Tambahnya, kesemua barang yang disita telah dibawa ke Setor Sitaan Jalan Lombong, Taman Miharja Cheras, Kuala Lumpur bagi tujuan proses dokumentasi dan rekod.

DBKL komited untuk meneruskan pemantauan dan tindakan secara berkala di lokasi-lokasi tumpuan yang dikenal pasti.

Orang awam yang ingin membuat aduan atau memberikan maklumat berkaitan boleh melakukannya melalui pautan berikut https://adukl.dbkl.gov.my.

Anda Mungkin Berminat