DBKL Tutup Empat Premis Pelacuran di Bukit Bintang

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bertindak tegas menutup empat premis yang dipercayai menjalankan aktiviti pelacuran di kawasan Petaling dalam Parlimen Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Tindakan penguatkuasaan ini dilakukan hasil daripada pemantauan dan risikan yang dijalankan oleh pihak DBKL selama beberapa hari di lokasi tersebut.

“Berdasarkan hasil siasatan, empat premis telah dikenal pasti menawarkan perkhidmatan seks secara haram kepada pelanggan.

“Premis-premis terbabit ditutup serta-merta di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976.

“Selain itu, struktur dalaman yang diubah suai untuk dijadikan bilik khas turut dirobohkan oleh pihak berkuasa bagi menghalang aktiviti tidak bermoral itu daripada diteruskan,” kenyataan itu menyebut.

DBKL turut mengeluarkan empat notis tawaran kompaun di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016, serta merampas semua barangan yang digunakan dalam kegiatan berkenaan.

Semua barangan yang disita telah dibawa ke Setor Sitaan DBKL di Jalan Lombong, Taman Miharja, Cheras untuk tujuan rekod dan dokumentasi.

Menurut kenyataan DBKL, tindakan penguatkuasaan seperti ini akan diteruskan dari semasa ke semasa di kawasan tumpuan yang telah dikenalpasti sebagai lokasi aktiviti tidak bermoral.

Pihak berkuasa turut menggalakkan orang awam menyalurkan maklumat melalui laman aduan rasmi DBKL di pautan https://adukl.dbkl.gov.my.

Kempen ini turut membawa mesej DBKL dalam memastikan Kuala Lumpur kekal sebagai bandar berdaya huni dan sejahtera untuk semua warga kota.

Anda Mungkin Berminat