KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) mengecam tindakan tiga individu yang bertindak memanjat atau bergayut pada struktur papan tanda jalan dan tiang lampu di bandar raya ini baru-baru ini.
Aksi berkenaan tular di platform TikTok disifatkan bukan sahaja membahayakan keselamatan diri, malah boleh merosakkan harta awam serta mencemar imej bandar raya Kuching.
“DBKU memandang serius tindakan sedemikian dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang serta tatasusila masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurut DBKU, tindakan menampal bahan seperti pelekat atau poster pada papan tanda jalan tanpa kebenaran juga merupakan satu kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil 22(1)(b), Local Authorities (Cleanliness) By-laws 1999.
Individu yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda RM1,500, manakala kesalahan berulang boleh didenda sehingga RM3,000 atau penjara sembilan bulan.
Susulan insiden itu, DBKU akan membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut undang-undang berkaitan ketenteraman awam.
DBKU turut menyeru orang ramai agar menjaga tingkah laku dan menghormati kemudahan awam demi kesejahteraan bersama.
Sebagai pihak berkuasa tempatan, DBKU komited memastikan bandar raya Kuching kekal bersih, selamat dan berdaya huni melalui kerjasama semua pihak.
Baca juga:








