DBP Sokong Titah Agong, Bahasa Melayu Wajib Jadi Teras Pendidikan

PETALING JAYA: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menzahirkan sokongan penuh terhadap titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang menegaskan bahawa sebarang cadangan mewujudkan sistem pendidikan lain mesti menerima bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam sejarah dan identiti Malaysia.

Dalam kenyataan media pada Isnin, DBP menekankan bahawa titah tersebut amat penting bagi memperkukuh komitmen negara dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan rasmi, selaras dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan serta Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67.

“Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 (Akta 32) dengan jelas memperuntukkan bahawa bahasa Melayu hendaklah menjadi bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan kebangsaan, merangkumi institusi pendidikan kerajaan, bantuan kerajaan dan institusi pendidikan swasta, tertakluk pada peruntukan Akta Pendidikan 1996.

“Akta ini menjadi asas Dasar Pendidikan Kebangsaan yang menekankan pembinaan jati diri dan identiti nasional melalui bahasa kebangsaan serta memperkukuh bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan,” katanya.

DBP turut merujuk kepada Surat Edaran Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) bertarikh 29 Oktober 2025 yang mewajibkan penggunaan bahasa Melayu sepenuhnya dalam semua urusan rasmi kerajaan.

“Surat edaran tersebut mengukuhkan lagi komitmen supaya bahasa Melayu kekal utama, bermutu dan dihormati dalam pentadbiran awam dan hal ehwal yang berkaitan dengan urusan kerajaan,” katanya.

Sehubungan itu, DBP menegaskan akan terus memainkan peranan proaktif melalui pemantauan, penilaian dan khidmat nasihat bagi memastikan titah Seri Paduka Baginda serta peruntukan undang-undang dipatuhi sepenuhnya.

Langkah itu diyakini mampu menjamin bahasa Melayu kekal sebagai bahasa kebangsaan yang menyatukan rakyat Malaysia.

Anda Mungkin Berminat