Dedah Draf MoU Peruntukan, Pembangkang Cuba Alih Perhatian

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Tindakan pembangkang berkongsi draf Memorandum Persefahaman (MoU) peruntukan kepada umum disifatkan cubaan mengalih perhatian dalam beberapa isu.

Penganalisis politik, Mujibu Abd Muis berkata, antaranya kekalahan pembangkang di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada 17 Ogos lalu dan pendakwaan terhadap Presiden Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkaitan isu 3R (Kaum, Agama, Raja).

“MoU ini masih lagi dalam peringkat perbincangan dan kalau pembangkang rasa syarat yang dikemukakan itu berat, ia boleh dirunding semula.

“Lagipun, saya rasa syarat yang dinyatakan tidak berat untuk mana-mana pihak sekiranya mereka ikhlas.

“MoU ini maksud dia Memorandum Persefahaman, bermakna perlu mendapat persetujuan kedua-dua pihak… Jika tidak sefahaman, ini tidak betul,” katanya ketika dihubungi Malaysia Bangkit pada Rabu.

Pada Selasa, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang juga Ketua Whip PN mendedahkan tujuh syarat, termasuk sokongan kepada kerajaan sehingga akhir penggal parlimen ke-15, yang perlu dipenuhi Ahli Parlimen pembangkang bagi membolehkan mereka mene­rima peruntukan seperti yang dituntut selama ini.

Menurutnya, semua syarat itu digariskan di bawah draf Memorandum Persefahaman (MoU) Mengenai Peruntukan Pembangkang yang diterima beliau pada 6 Ogos lalu.

Kata Mujibu, tindakan pembangkang ini juga dipercayai cubaan untuk memburukkan kerajaan yang sudi membuat pembaharuan dan memperkasa pembangkang dengan MoU tersebut.

“Kerajaan menawarkan MoU ini bagi membolehkan pembaharuan, menambah baik sistem perjalanan politik dan perkasa pembangkang yang mana saya rasa ini diambil perhatian oleh kerajaan.

“Jadi, bincang secara baik selain daripada mendedahkan kepada pihak media,” ujarnya.

Anda Mungkin Berminat