KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk menjadikan sambutan Deepavali sebagai titik tolak memperkukuh semangat perpaduan dan saling menghormati dalam masyarakat majmuk negara ini.
Dalam perutusan khas sempena Pesta Cahaya, beliau menekankan bahawa Deepavali bukan sekadar perayaan keagamaan tetapi juga lambang kemenangan nilai-nilai murni yang menjadi teras kepada keharmonian negara.
“Deepavali tiba dengan penuh keceriaan, membawa bersama semangat Pesta Cahaya, lambang kemenangan cahaya mengatasi kegelapan, kebaikan menundukkan kejahatan, serta kekuatan ilmu mengatasi kejahilan,” kata beliau dalam satu hantaran di Facebook.
Mengangkat kepelbagaian budaya dan kepercayaan sebagai kekuatan bangsa, Perdana Menteri mengajak rakyat untuk terus memupuk persefahaman dan menyantuni golongan yang memerlukan, selaras dengan semangat kekitaan yang menjadi asas negara.
“Gunakan kesempatan ini untuk menyemai perpaduan, menyantuni mereka yang memerlukan dan memperteguh semangat kekitaan yang menjadi asas kekuatan negara,” katanya lagi.
Beliau turut menzahirkan harapan agar sambutan Deepavali kali ini diraikan dengan jiwa yang penuh kesyukuran dan semangat kebangkitan pemikiran yang segar, demi mengangkat darjat rakyat dan membina Malaysia yang lebih sejahtera.
“Moga perayaan Deepavali kali ini diraikan dengan jiwa yang penuh kesyukuran dan semangat kebangkitan pemikiran yang segar, agar darjat serta harakat rakyat terus terangkat menuju Malaysia yang lebih harmoni dan sejahtera.
“Selamat menyambut Hari Deepavali kepada semua penganut Hindu. Deepavali Nal Vazhtugal!!” katanya.








