Deklarasi KL Asas Pelaksanaan Awal Komuniti ASEAN 2045 – Pakar Ekonomi

Oleh: Aliyaa Azmi

KUALA LUMPUR: Sidang Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN yang berlangsung baru-baru ini disifatkan sebagai langkah penting ke arah merealisasikan Visi Komuniti ASEAN 2045.

Menurut Pengarah Program MBA Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, pelancaran Pelan Strategik ASEAN semasa sidang itu menjadi asas utama bagi mencapai visi berkenaan dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Sidang kali ini amat penting kerana perancangan strategik untuk lima tahun pertama ke arah Komuniti ASEAN 2045 telah dilancarkan. Deklarasi Kuala Lumpur juga bukan sekadar simbolik, tetapi perlu dituruti dengan pelaksanaan yang konsisten oleh negara anggota,” katanya kepada Malaysia Bangkit.

Beliau menyifatkan deklarasi itu sebagai peluang kepada Malaysia untuk meneruskan agenda membina Komuniti ASEAN yang lebih inklusif, berdaya tahan dan berorientasikan rakyat.

Mengulas aspek ekonomi, Dr. Ahmed Razman berkata ASEAN perlu tampil lebih proaktif dalam membina jaringan perdagangan serta mempermudah aktiviti pendanaan antara negara anggota yang ketika ini masih rendah sekitar 23 peratus.

“Kalau ASEAN nak kekal berdaya saing dalam landskap ekonomi global, negara anggota tak boleh duduk diam. Kena sentiasa cari peluang dan perluas perjanjian dengan negara luar seperti China dan rantau GCC,” jelasnya.

Beliau turut memetik kenyataan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang menekankan keperluan ASEAN untuk terus bergerak aktif dalam menghadapi cabaran ekonomi global.

“Dalam landskap ekonomi global yang mencabar, ASEAN tidak boleh statik. Kita mesti sentiasa proaktif, mencari peluang baharu dan memperkukuh kerjasama serantau serta dengan rakan dagang utama seperti China dan GCC,” kata Tengku Zafrul.

Tambah Dr. Ahmed, kerjasama erat dengan China dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) mampu membuka lebih banyak peluang pelaburan dan menjadikan ASEAN destinasi pilihan untuk barangan keperluan.

“China sebagai rakan dagang utama ASEAN amat penting. Kita tak mahu berlaku ketegangan yang boleh ganggu aktiviti ekonomi serantau. Sementara itu, negara-negara GCC mempunyai kuasa beli tinggi dan potensi besar sebagai pelabur,” ujarnya.

Beliau optimis dengan kekuatan ASEAN ketika ini dengan jumlah populasi ketiga terbesar dunia serta menyumbang hampir 10 peratus kepada KDNK global rantau ini berada di landasan tepat untuk muncul sebagai kuasa ekonomi serantau.

Sebagai makluman, Malaysia turut mengumumkan penubuhan ASEAN Digital Economic Framework Agreement (DEFA) Negotiating Committee, sebagai usaha memperkukuh kerjasama digital serantau.

Jawatankuasa itu bakal dipengerusikan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan dijangka dimuktamadkan pada tahun 2025, sekaligus menyokong agenda transformasi digital ASEAN ke arah masa depan ekonomi serantau yang lebih mampan dan bersepadu.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat